Petang itu di tepi tasik nan indah permai, angin sepoi bahasa Tamil bertiup dari arah tasik menerpa dan menerjah muka sang uda dan dara yang bercanda di tepian tasik itu.
Muka mereka kelihatan bersahaja. Tiada baris kata yang rancak ingin terbit dari mulut mereka. Kelihatan kelu dan kaku. Mungkin masing-masing menyelami hati dan perasaan namun mereka berdua sahaja yang tahu.
Dari kejauhan kelihatan badan yang kurus di tepi tasik menunggu umpan dijamah ikan. Sekali dilontar pancing jauh ke tengah tasik lantas terus menunggu lagi. Perlakuan sang tua kurus langsung tidak mengganggu gugat keheningan petang itu.
Di belakang pula anak-anak kecil bermain buaian dan jongkang-jongket. Sesekali kelihatan sang dara teringin untuk turut sama menyertai anak-anak kecil bermain buaian tanpa menyedari dirinya sudah melangkah alam dewasa.
Tidak semena, sang dara mengubah angin yang bertiup. Dihulurnya bungkusan kecil tanda ingatan dan kasih sayangnya terhadap sang uda. Namun sang uda yang mengelamun mengubati hati sendiri seolah merajuk dengan semua yang berlaku lalu menolak dalam rajukan.
Tapi apakan daya, kelihatan sandiwara itu tidak berkesudahan. Sang dara masih tidak mengerti rajukan sang uda malah meneruskan niatnya untuk bermain buaian. Apakan daya sang uda terpaksa melayan perasaannya sendirian ditemani nyamuk dan unggas senja.
Sayup-sayup kedengaran azan Magrib menandakan hari sudah menjengah malam. Namun sang uda dan dara masih lagi terpacak di tepian tasik. Bayang-bayang di permukaan tasik pun sudah hilang dimamah senja kelam. Menambahkan lagi kelam yang bermain di fikiran sang uda dan dara.
Sang uda tidak mahu mengalah lalu mengangkat kaki menuju ke gerai berhampiran. Niatnya cuma satu, mahu lari dari usikan nyamuk dan unggas gatal yang berterbangan di atas kepala. Tapi malangnya sang dara masih leka di buaian. Melayang perasaan mungkin.
Tidak sesampai hati sang uda, lalu menjemput sang dara untuk turut sama membasahi tekak di gerai itu. Diam lidah. Kaku. Mata tidak tertacap satu sama lain. Mungkin menggunakan deria yang keenam untuk berhubung satu sama lain. Cuma terkadang bibir senyum mengulas tanda hati sudah reda dari rajukan. Tapi malang jua kerana sang dara masih lagi kebingungan dan sering membuat bodoh tidak menentu.
Tidak mahu rugikan masa, terpaksa jua sang uda mengorak langkah menyembunyikan kelam keruh pekat. Menggantikan dengan senda gurau agar kekeruhan menjadi keriuhan agar bakal menimbulkan keceriaan malam yang sudah tiba itu.
Tidak lama. Tidak sekejap. Sang uda dan dara beralih tempat. Duduk di bangku kecil. Bungkusan kecil kini sudah beralih tangan. Ceria sudah menjelma. Senda gurau mengiringi malam yang penuh kelam itu. Mungkin di hati pasangan itu rasa bahagia tidak terhingga, bagaikan dunia hanya milik mereka berdua.
bersambung...
0 comment:
Post a Comment